Assalamualaikum...mari belajar bersama Ustaz Sanusi..

Wednesday, 7 December 2011

Buat Anak Muridku.

BAHAYA DADAH


Umum mengetahui, dadah telah diwartakan sebagai musuh nombor satu negara. Ini menunjukkan yang masalah dadah ini telah berada pada tahap yang sangat serius. Oleh itu, kerajaan bersama Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil beberapa langkah termasuklah mengadakan kempen-kempen  anti dadah diperingkat sekolah.

Dalam islam belum ada hukum yang jelas tentang dadah, namun para ulama’ telah sependapat mengkiaskan dadah dengan khamar (arak). Khamar adalah sejenis cecair yang memabukkan ,mengkhayalkan dan memudaratkan kepada peminumnya. Jelas, dadah juga mempunyai ciri-ciri dan sifat itu. Maka, sesiapa yang mengambil dadah adalah haram hukumnya. Hukum ini jelas berdasarkan ayat-ayat al-quran dan hadis-hadis rasulullah.

Dalam Surah Al Maidah ayat 90 -91 Allah berfirman maksudnya :
” Wahai orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya khamar (arak), berjudi dan pemujaan berhala serta merenung nasib adalah pebuatan yang keji dan merupakan amalan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya semoga kamu beroleh kejayaan. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan keburukan diantara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan muka kamu daripada solat.”

Sabda Rasulullah SAW: Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah haram.

Firman Allah dalam surah An Nisa ayat 29:
”Janganlah kamu membunuh dirimu sendiri sesungguhnya Allah Maha Pengasih kepadamu.”

Di dalam sebuah hadis Ummu Salamah telah berkata diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud: ”Rasulullah melarang dari mengambil setiap bahan memabukkan (muskir) dan yang melemahkan badan (muftir).”

Berdasarkan ayat-ayat al quran dan hadis-hadis rasulullah islam telah menyimpulkan bahawa dadah ini adalah benda yang memudaratkan diri dan orang lain, benda yang mengakibatkan kematian, benda yang membawa kepada dosa dan benda yang kotor lagi haram.

Hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a , Nabi Muhammad SAW bersabda: ”Sepuluh orang yang dikutuk oleh Allah mengenai khamar; pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembelinya dan juga pemesannya.”

Oleh itu murid-murid semua, kita hendaklah menjauhi diri kita daripada menjadi salah seorang daripada sepuluh golongan ini. Hari ini kanak-kanak seawal usia tujuh tahun telah dieksploitasi oleh orang perseorangan untuk menjadi pengedar dadah. Justeru itu, murid-murid semua hendaklah berhati-hati dengan orang-orang yang tidak dikenali. Jangan sekali-kali mempercayai seseorang yang baru dikenali atau mengikut mereka walaupun diberitahu hanya dalam jangka masa yang singkat.

Sementara itu, remaja perempuan yang mengimpikan untuk hidup mewah, tidak sekali-kali bersetuju untuk menerima tawaran bayaran lumayan, hanya dengan membawa barang-barang tertentu ke destinasi tertentu. Berhati-hatilah dengan tawaran itu, mungkin anda telah dipergunakan untuk membawa dadah. Jika anda tersilap langkah, anda boleh tertangkap dan dijatuhi hukuman mati jika sabit kesalahan. Apabila situasi ini berlaku, sudah tentu hidup dan masa depan anda akan musnah. Persekolahan anda akan tergendala dan keluarga sudah tentu mendapat malu. Lebih malang lagi jika anda melakukan kesalahan ini di luar Malaysia. Banyak paparan berita dan akbar-akhbar tempatan menghidangkan jenayah ini dan segala urusan perundangan serta penjamin sukar mendapat kompromi kerana kes dadah berbeza mengikut undang-undang negara terbabit. Fikirkanlah.........

Murid-murid sekelian,
Mengapa kita selalu menuding jari kepada orang lain jika terjerumus ke kancah dadah. Masalah keluarga, perceraian ibubapa, tidak berkeyakinan mengharungi kehidupan dan pengaruh rakan menjadi alasan untuk kita mengambil dadah. Ingatlah, islam telah menggariskan kepada semua umatnya, agar kembali kepada Allah walau dalam apa juga situasi. Menerima dengan redha setiap perkara yang baik atau buruk dalam hidup adalah sangat dituntut dalam islam. Perkukuhkan dalam diri dengan ajaran-ajaran Allah dan sentiasa menjadikan Allah sebagai tempat mengadu. Sesungguhnya, Allah tidak datangkan sesuatu dugaan atau kesusahan melainkan untuk menguji keimanan dan kesabaran umatnya. Jika kita cepat berputus asa dan mengalah, maka syaitan akan menghasut kita untuk melakukan sesuatu diluar batasan islam. Benar, dadah memberi ketenangan kepada pengambilnya, namun ia bersifat sementara dan manusia akan ketagihan sepanjang hidupnya. Tetapi, jika kita kembali kepada Allah, ketenangan yang diperolehi akan kekal. Sudahlah begitu, hidup juga mendapat keberkatanNya.

Murid-murid yang dikasihi Allah,
Pengambilan dadah memberi impak besar kepada keseluruhan hidup kita. Kesan paling ketara apabila mengambil benda haram ini ialah neraka adalah tempat yang lebih utama bagi mereka. Doa seseorang yang terlibat dengan dadah juga tidak diperkenankan oleh Allah. Mereka ini juga terlalu keras dan gelap hatinya serta sukar menerima kebaikan. Amalan-amalan kebajikan tidak dapat dilakukan kerana keras dan gelapnya hati mereka. 

Jiwa golongan ini juga, tidak pernah tenteram dan sentiasa resah gelisah. Apabila ini berlaku mereka mudah terjebak melakukan dosa tanpa segan silu. Sebab itulah, individu penagih ini sanggup melakukan jenayah untuk memperolehi dadah. Jika penagih atau seumpama dengan golongan yang sepuluh itu, adalah pelajar, maka mereka mengalami kesukaran untuk menerima dan mengingati pelajaran atau ilmu yang disampaikan.

Jelaslah, dadah bukan sahaja merosakkan kehidupan dan masa depan individu itu, malah dalam masa yang sama dibenci oleh masyarakat dan Alllah. Oleh itu, murid-murid semua, berjanjilah pada diri sendiri untuk menjauhi diri daripada terlibat dengan dadah. Sayangilah diri anda dan masa depan anda. Hindari dadah, ummah gemilang, negara aman.





SINOPSIS


Dadah menurut pandangan islam.
1) Benda yang memudaratkan diri dan orang lain.
2) Benda yang menakibatkan kematian.
3) Benda yang membawa kepada dosa.
4) Benda yang kotor dan haram.

Hukum dadah.
Haram mengambil dadah seperti yang dikiaskan ketika mengambil khamar(arak) kerana sifat kedua-duanya yang memabukkan dan memudaratkan.

Sepuluh golongan yang dikutuk dan dilaknat oleh Allah mengenai khamar(arak) dan dadah berdasarkan hadis rasulullah SAW.
1)   Pembuatnya                                                   
2)   Pengedarnya
3)   Peminumnya
4)   Pembawanya
5)   Pengirimnya
6)   Penuangnya
7)   Penjualnya
8)   Pemakan wang hasilnya
9)   Pembelinya
10) Pemesannya

 Kesan memakan benda haram
1)  Neraka lebih utama baginya
2)  Doa tidak diperkenankan
3)  Menggelapkan dan mengeraskan hati
4)  Berat hati untuk melakukan kebajikan
5)  Hati resah dan tidak tenteram
6)  Mudah terjebak dengan dosa tanpa segan silu
7)  Susah menerima dan mengingati pelajaran atau ilmu yang disampaikan


No comments:

Post a Comment